SINOPSIS PLAYBOY ITU SUAMI AKU

Views
Assalamualaikum, hai :)
Poster Playboy Itu Suami Aku
‘Playboy Itu Suami Aku’ mengisahkan Afina (Nur Risteena), seorang gadis lemah lembut dan sopan santun ditemukan jodoh dengan Adrian (Fattah Amin), seorang playboy. Afina mempunyai seorang adik kembar tidak seiras, Afisya (Cha Cha Maembong) ataupun Fisya yang suka bersosial dan merupakan salah seorang teman wanita kepada Adrian.
Pada awal perkenalan mereka, Afina disimbah dengan air lopak apabila Adrian membawa kereta mewahnya dengan laju. Adrian bukan sahaja tidak minta maaf malah dia tidak sekalipun memperlahankan keretanya. Raja Adrian Benjamin ataupun ‘King’ (King of Crocodile) sering membuatkan Afina panas hati.
Suatu hari, Afina dan Syaf (Wan Sharmila) menghantar tempahan bunga untuk digubah di rumah Puan Sri Zahida (Dilla Ahmad) bersempena dengan majlis hari jadi cucunya. Puan Sri Zahida tertarik dengan penampilan Afina yang sopan dan tidak meninggalkan solat, maka dia membuat keputusan mengejut untuk mengahwinkan Adrian dan Afina. Macam-macam kutukan dilemparkan oleh Adrian kepada Afina, Afina berasa amat malu dan segera minta diri.
Puan Sri bertegas bahawa Adrian tetap akan berkahwin dengan Afina walaupun apa yang terjadi kerana dia yakin Afina bakal menjadi seorang isteri yang solehah dan jauh lebih bagus daripada teman-teman wanitanya. Bapanya juga meletakkan syarat yang Adrian perlu berkahwin dengan Afina jika dia mahu menjadi CEO kepada syarikat mereka, Kiara Emas.
Akhirnya Afina dan Adrian berkahwin kerana masing-masing mempunyai agenda sendiri. Selepas kahwin, Afina cuba menawan hati suaminya tetapi Adrian tetap dengan sikap kaki perempuannya. Malah, Adrian membuat pengakuan di hadapan Afina bahawa dia tidak ingin mengahwini Afina tetapi dia terpaksa mengikut kehendak ibu bapanya kerana mahu menjadi CEO syarikat. Adrian juga berkata dia tidak akan jatuh cinta dengan perempuan seperti Afina. Walaupun dibenci oleh Adrian, Afina bertekad untuk memikat hati Adrian dan menjadi isteri yang taat. Apakah faktor yang menyebabkan Afina bertukar fikiran untuk mengahwini seorang playboy? Oleh kerana cintanya tidak diterima oleh Adrian, Afina telah menulis isi hatinya dan disimpankan dalam botol sebelum ditanam di sebuah tempat rahsia.
Fisya menyimpan dendam terhadap Afina kerana berkahwin dengan teman lelakinya yang juga merupakan jejaka idaman dalam kalangan wanita. Fisya semakin tidak puas hati apabila Afina masih menjadi isteri yang sah dan kelihatan bahagia. Maka, Fisya telah menggoda Nazri (Jay Iswazir) dan memintanya melakukan sesuatu jika ingin memilikinya. Nazri hanya menuruti apa yang disuruh oleh Fisya.
Afina terlibat dalam sebuah kemalangan dan koma. Selepas dia sedar, dia hilang ingatan dan menjadi penghidap amnesia. Afina menjadi bingung kenapa dia boleh berkahwin dengan seorang playboy. Adrian pula mengingatkannya tentang janji mereka bahawa mereka akan terus menyamar sebagai pasangan yang bahagia di hadapan ibu bapanya sehingga Adrian dilantik sebagai CEO. Fisya pula meninggalkan Malaysia untuk menyambung pelajaran di luar negara.
Selepas sedar dari koma, Afina berubah menjadi seorang yang lebih kasar dan berani melawan. Afina tidak lagi bersabar dengan karenah Adrian dan permintaan yang bukan-bukan daripadanya. Malah, Afina juga menuntut cerai. Mereka kerap kali bertegang urat dan saling membuli hingga memutikkan bunga-bunga cinta di taman hati masing-masing. Di saat Adrian bersedia membuka pintu hatinya dan mula mencintai Afina, Afina telah meninggalkan Adrian tanpa pesanan. Apakah kepulangan Fisya mengundang masalah dalam hidup Adrian dan Afina? Adakah Adrian masih sudi mempercayai cinta Afina dan mereka berdua akan kembali bersama?

Domain dan Hosting oleh Hosting Rajawali - Social blogging in Malaysia Oneblogsocial

No comments: